Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara itu dilakukan sebaik sahaja Kerajaan Negeri Sarawak membuat bayaran balik hutang sebanyak RM350 juta.

Menurutnya, pada 30 Jun lalu, Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.35 bilion.

“Sekiranya RM1 bilion tersebut dibayar balik oleh Sarawak, maka kerajaan negeri itu masih berhutang kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM1.35 bilion,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata Guan Eng, kerajaan bersetuju secara dasarnya untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang Sarawak sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan untuk diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah daif, tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan.

Pertama, tambahnya, Sarawak hendaklah membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada kerajaan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan. Ini adalah selaras dengan penetapan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Jelasnya, Kedua, kerajaan akan menyalurkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh kerajaan negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

“Ketiga, kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka, bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan berdasarkan tatacara kewangan kerajaan semasa.

“Keempat, kerajaan bersedia mengambil kira keutamaan Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih,” katanya.

Guan Eng berkata, keempat-empat kriteria itu sudah dipersetujui kerajaan negeri Sarawak dalam surat Ketua Menteri Sarawak kepadanya yang diterima pada 15 Julai lalu.

“Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa cadangan Sarawak menggunakan bayaran balik pinjaman untuk membaik pulih sekolah daif, sebenarnya adalah wang pendahuluan kerajaan kerana membabitkan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada Sarawak sebelum ini.

“Sebagai bayaran balik pinjaman kepada kerajaan, ianya bermaksud dana RM1 bilion itu sebenarnya adalah wang milik kerajaan sendiri, yang dipersetujui untuk digunakan bagi membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Tambah beliau, Ketua Menteri Sarawak menyatakan kesediaan untuk menyalurkan bayaran balik pinjaman fasa pertama sebanyak RM350 juta dalam tempoh terdekat.

“Selepas itu, beberapa perkara harus dimuktamadkan, di antaranya jadual pelaksanaan, senarai sekolah dan proses tender bagi projek itu.

“Dengan semangat kerjasama dan niat ikhlas semua pihak, Kementerian Kewangan yakin bahawa proses tender bagi fasa pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak ini akan dilaksanakan sebelum hujung tahun ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE