Perdana Menteri turut meluangkan masa menaiki kenderaan Exora tanpa pemandu sejauh kira-kira 100 meter dari Istana Kehakiman menuju ke Kompleks Perbadanan Putrajaya untuk majlis perasmian.

Perdana Menteri kemudiannya meluangkan masa melawat ruang pameran.

Pameran 5G anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), memberi peluang kepada orang ramai, pemain industri dan pihak berkepentingan merasai dan melihat sendiri manfaat teknologi 5G terhadap kehidupan mereka pada masa hadapan.

Selain kereta tanpa pemandu, orang ramai turut berpeluang melihat pelbagai aplikasi kehidupan nyata yang dipamerkan seperti e-sukan, dron, pertanian jitu, pembuatan pintar dan kelas realiti maya.

Pameran selama empat hari itu disertai hampir kesemua syarikat telekomunikasi utama di negara ini dan institusi pengajian tinggi tempatan.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad; Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak. - UTUSAN ONLINE