Sebaliknya, Yang Dipertua PVATM Perak, Leftenan Kolonel Aminuddin Ab Karim berkata, Yew Yin sepatutnya dikenakan tindakan tegas atas kenyataan biadapnya itu yang telah mengguris hati seluruh warga ATM sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara.

Malah katanya, sebagai individu yang telah melalui pelbagai era termasuk ketika negara mahu mencapai kemerdekaan, ahli perniagaan itu sewajarnya lebih memahami peranan sebenar anggota keselamatan terutama tentera.

"Tuduhan kononnya anggota tentera hanya makan dan tidur bukan sahaja tidak berasas malah menyamakan nilai anggota tentera yang banyak berkorban untuk negara dengan pekerja warga asing juga merupakan tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

"Kenyataan biadap beliau itu terlalu berat dan memberi kesan besar khususnya kepada anggota tentera. Jadi, permohonan maaf yang dilakukannya itu tidak patut diterima sama sekali," katanya dalam sidang akhbar di pejabat PVATM Perak di Wisma Pahlawan di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, Yew Yin sepatutnya sedar bahawa peranan anggota tentera bukan hanya mempertahankan negara dari ancaman luar tetapi turut bertanggungjawab membantu agensi-agensi tempatan lain bagi memastikan keselamatan dalam negara kekal terjamin.

Ujar beliau, meskipun keadaan negara adalah aman namun peranan anggota tentera tetap diperlukan dalam beberapa situasi termasuk semasa bencana iaitu banjir dan tanah runtuh selain mengawal sempadan negara bagi memastikan tiada musuh menyusup masuk.

"Sebagai seorang ahli perniagaan yang berjaya, beliau patut berterima kasih kerana dengan peranan yang dimainkan oleh anggota tentera inilah, beliau dapat membina kekayaan dan hidup dalam keadaan selamat di negara ini.

"Sebagai bekas anggota tentera, kami masih belum dapat menerima permohonan maaf beliau. Mungkin beliau ada motif lain dengan mengeluarkan tuduhan tersebut kerana untuk menulis artikel seperti itu, beliau sepatutnya berfikir dan menilai terlebih dahulu," katanya.

Terdahulu, Aminuddin bersama kira-kira 40 ahlinya membuat laporan di Balai Polis Jelapang bagi menggesa tindakan tegas diambil terhadap Yew Yin agar perlakuan sama tidak diikuti individu lain.-UTUSAN ONLINE