AZLAN MAN
AZLAN MAN 

Bagaimanapun Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, kenaikan tersebut yang masih di peringkat penelitian dijamin tidak akan membebankan pengguna.

“Kita bersetuju perlu dibuat penyelarasan semua tarif air selepas sekian lama tidak pernah disemak. Penyelarasan itu penting untuk kita buat penambahbaikan terhadap perkhidmatan dan kualiti air di negeri ini.

“Cadangan kerajaan itu akan diteliti dan apa yang pasti kenaikan nanti adalah dianggap munasabah dan tidak membebankan pengguna,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azlan berkata, kerajaan telah meluluskan perancangan-perancangan pembangunan yang dibuat di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) setelah membuat kajian semula.

Selain itu, kata beliau, kerajaan juga telah meluluskan RM90 juta untuk meningkatkan sistem bekalan air terawat dan akan digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Malah kerajaan juga meluluskan RM900 juta kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi membina Universiti Kuala Lumpur iaitu Asian Sustainable Institute (UniKL-ASTI) di Padang Besar pada akhir tahun ini.

“Sebelum ini, kerajaan negeri telah merangka projek infrastruktur sebagai jaringan sistem pengangkutan dan perhubungan untuk meningkatkan keselesaan menjalankan perniagaan seperti Jeti Sanglang, Pelabuhan Darat Perlis (PIP) dan Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu (Kangar Sentral),” katanya.- UTUSAN ONLINE