Mengulas laporan Perangkaan Demografi bagi tempoh itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah itu merangkumi 29.38 juta orang (90.2 peratus) warganegara dan 3.2 juta orang (9.8 peratus) bukan warganegara.

“Penduduk bukan warganegara merekodkan penurunan sebanyak 0.1 juta orang,” katanya dalam kenyataan hari ini bagi mengulas laporan Perangkaan Demografi dalam tempoh itu.

Mohd. Uzir berkata, pada suku kedua 2019, penduduk lelaki melebihi penduduk perempuan, dengan nisbah jantina kekal pada 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Katanya, penduduk lelaki meningkat kepada 16.83 juta orang berbanding 16.72 juta orang pada tempoh sama tahun lepas, manakala penduduk perempuan turut meningkat daripada 15.66 juta orang kepada 15.75 juta orang.

Mohd. Uzir berkata, Selangor mencatatkan penduduk paling ramai pada suku tahun kedua 2019 dengan 6.53 juta penduduk manakala Labuan mempunyai penduduk terendah iaitu 99,300 penduduk.

Menurutnya, penduduk berumur 0-14 tahun (umur muda) pula menurun kepada 7.6 juta orang daripada 7.71 juta pada tempoh sama tahun lepas.

Penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) turut meningkat daripada 2.09 juta kepada 2.19 juta bagi tempoh yang sama, katanya.

Menurutnya, trend itu adalah selari dengan negara maju iaitu negara ke arah penuaan penduduk.

Dalam tempoh itu juga, Mohd Uzir berkata sebanyak 123,102 kelahiran hidup direkodkan, manakala jumlah kematian ialah 42,027 orang. - BERNAMA