Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam satu kenyataannya berkata, langkah itu dapat memberi peluang kepada kontraktor bumiputera baharu terutamanya generasi muda.

“Kerajaan menyedari keperluan untuk mengkaji semula pendaftaran kontraktor G1 setelah 14 tahun pendaftarannya dibekukan. Berdasarkan statistik terkini, jumlah kontraktor G1 yang telah berdaftar dengan CIDB adalah sebanyak 21,495 syarikat.

“Daripada jumlah itu, 70 peratus adalah kontraktor yang mempunyai rekod pendaftaran melebihi 20 tahun dan keadaan ini tidak memberi peluang kepada kontraktor bumiputera yang baharu untuk menyertai perolehan kerajaan,” kata kementerian terbabit dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Menurut kementerian itu, baki 30 peratus lagi kontraktor G1 mempunyai rekod pendaftaran di antara tiga hingga 20 tahun mengikut bidang pengkhususan masing-masing.

Selain itu katanya, kerajaan berpandangan adalah wajar pendaftaran kontraktor G1 dibuka semula kepada rakyat khususnya kepada golongan belia bumiputera yang berkelayakan.

“Kerajaan berharap usaha berkenaan dapat melahirkan lebih ramai kontraktor bumiputera yang berdaya saing dan berdaya tahan serta memainkan peranan utama dalam industri pembinaan negara,” katanya.

Dalam pada itu katanya, jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya had nilai penawaran kerja-kerja kerajaan yang ditawarkan kepada kontraktor G1 dikaji semula.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi serta agensi lain yang berkaitan akan memperhalusi had nilai ini dengan mengambil kira kesan kenaikan kos dalam pelaksanaan projek-projek semasa kerajaan.

“Kajian ini bagi memastikan keutamaan dan pengukuhan penyertaan bumiputera dalam perolehan kerajaan dari segi nilai perolehan kontrak serta dapat merapatkan jurang pendapatan antara kaum tanpa menjejaskan ekosistem industri pembinaan negara,” katanya.-UTUSAN ONLINE