Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar dalam kenyataannya hari ini berkata, SPAN sebagai sebuah badan kawal selia perkhidmatan air dan pembetungan akan melakukan siasatan dan tindakan mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Agensi di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli iaitu SPAN, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Indah Water Konsortium mempercepatkan pemulihan termasuk mengenal pasti punca pencemaran melalui ujian yang dilaksanakan di Batang Kali, Selangor Sabtu semalam,” katanya.

Dalam insiden Jumaat lalu, Air Selangor bertindak menutup tiga tiga loji rawatan air utama iaitu Loji Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang bagi mengelakkan air tercemar dari diproses dan diagihkan kepada para pengguna, dan penutupan itu mengakibatkan hampir lima juta pengguna di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur terjejas bekalan air.

Jelas Dr. Xavier sehingga pukul 12 tengah hari ini, kerja pemulihan sumber tercemar mencapai tahap 94 peratus dan pemulihan sepenuhnya dijangka Rabu, 24 Julai depan.

Beliau turut mahukan setiap agensi kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan tugas memantau aktiviti yang berlangsung di sepanjang pesisir sungai.

“Sekiranya PBT peka dengan sebarang aktiviti mencurigakan yang berlangsung di kawasan seliaan mereka, insiden pencemaran sebegini dapat dielakkan dan ianya sudah tentu tidak akan membebankan pengguna sebagaimana kini,” katanya lagi.

Dr. Xavier seterusnya menyarankan agar PBT menyita mana-mana premis yang disyaki menjadi penyumbang kepada pencemaran sungai seterusnya mengambil tindakan lanjut termasuk tindakan undang-undang kepada pihak terbabit.

Beliau turut menyarankan agensi berkaitan yang lain seperti Jabatan Alam Sekitar yang bernaung di bawah Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) serta agensi-agensi di bawah kerajaan negeri untuk turut sama mengambil langkah proaktif pencegahan melalui aktiviti pengauditan secara berterusan serta penguatkuasaan di sepanjang jajaran sungai sama ada di negeri Selangor mahupun di lain-lain negeri.

“Semua pihak dan agensi yang terlibat perlu memainkan peranan mencegah aktiviti yang mampu memudaratkan sungai sebagai sumber air mentah utama negara. Tugas memulihara sumber air bukanlah tugas agensi kerajaan tertentu semata-mata,” katanya lagi. - BERNAMA