Pengarah JPJ negeri, Mohamat Johari Mat Nor berkata, segala urusan berkaitan siasatan kes rasuah yang didakwa membabitkan anggota penguat kuasa JPJ bagi melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan diserahkan kepada SPRM.

“Setakat ini kita serah kepada pihak SPRM dan kita akan berikan kerjasama sepenuhnya.

“Insiden ini tidak menjejaskan tugas dan semangat anggota JPJ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, SPRM menahan seramai 33 individu termasuk 24 penguat kuasa JPJ bersabit kes itu bagaimanapun tiga daripada mereka dilepaskan dengan jaminan semalam.

Daripada jumlah tangkapan itu, lapan individu termasuk tiga wanita merupakan orang awam yang berperanan sebagai proksi, tonto serta pemilik syarikat.

Menurut sumber SPRM, kesemua pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 daripada Pejabat JPJ negeri berkenaan dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

“Wang yang diterima tersebut dipercayai untuk pegawai kanan JPJ bagi tujuan hiburan,” katanya.

Jelas sumber berkenaan, tangkapan itu merupakan siasatan peringkat pertama dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Katanya, dianggarkan tidak kurang daripada 75 pegawai penguat kuasa JPJ terlibat menerima rasuah daripada pemilik syarikat-syarikat lori.

Dalam pada itu, sumber itu menambah, kumpulan lori-lori yang dilindungi tersebut dibekalkan dengan pelekat khas yang disediakan oleh tonto supaya mereka mudah dikenal pasti sekali gus kebal daripada tindakan penguat kuasa. - UTUSAN ONLINE