Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah berkenaan diambil ekoran beberapa laporan polis telah dibuat ke atas tiga pihak terbabit dan siasatan juga sedang pun dijalankan.

Beliau berkata, setakat ini, beberapa individu lain juga telah dipanggil untuk disoal siasat dan ada yang sedang dalam pemerhatian PDRM.

“Tindakan selanjutnya akan diambil termasuk mendakwa mereka yang terlibat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan jika terdapat bukti yang mencukupi.

“PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap pelbagai pihak yang menyebarkan berita-berita palsu serta mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman tanpa mengambil kira sensitiviti rakyat berbilang bangsa di negara ini,” katanya dalam satu kenyatannya di sini, hari ini.

Menurut Muhyiddin, PDRM dengan kerjasama SKMM sentiasa memantau kenyataan yang didapati mampu mengeruhkan keadaan terutama di media sosial.

Justeru itu katanya, pengguna laman sosial diingatkan agar sentiasa menggunakan media sosial secara berhemah.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak, termasuk bukan warganegara Malaysia bahawa agensi penguatkuasaan di bawah kementerian saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang cuba mengganggu-gugat keharmonian dan ketenteraman awam di negara ini.

“Semua pihak perlu berhenti mengeluarkan kenyataan berbentuk andaian. Sebaliknya perlu menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa sebelum membuat ulasan tentang sesuatu kejadian, ini bagi mengelakkan sebarang kenyataan berbentuk fitnah atau tuduhan melulu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kenyataan atau komen berunsur fitnah, perkauman atau hasutan, agar melaporkannya kepada pihak berkuasa dengan menghantar rakaman skrin kepada akaun media sosial rasmi PDRM.-UTUSAN ONLINE