Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, semua orang sedia maklum bahawa SIA adalah nama singkatan Singapore Airlines (SIA).

"Orang ramai pasti keliru jika KLIA ditukar kepada SIA. Contohnya, jika seorang itu berkata, 'saya bekerja di SIA' atau 'saya bekerja dengan SIA'," katanya dalam hantaran di facebook hari ini.

Sehubungan itu Ka Siong mempersoalkan kewajaran Majlis Mesyuarat Kerajaan Selangor pada 18 Oktober 2018 yang telah mencadangkan kepada Kerajaan Pusat supaya nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditukar kepada Sepang International Airport (SIA).

"Persoalannya, kenapa perlu ditukar nama? Apakah kebaikan kepada negara? Apakah nama Kuala Lumpur telah tercemar sehingga perlu digantikan dengan perkataan 'Sepang'." katanya.

Ka Siong berkata, ekoran kekeliruan yang bakal timbul jika penukaran nama KLIA itu menjadi kenyataan, maknanya selepas ini, mereka yang bekerja di Syarikat Penerbangan Singapura (SIA) sebagai pramugara, pramugari, juruterbang, kakitangan teknikal atau 'ground staff' juga boleh ditafsirkan mereka bekerja di Lapangan Terbang Sepang (SIA).

"Pasti mengelirukan! Sila nyatakan lima kebaikan kenapa KLIA perlu diubah menjadi SIA? Jika tidak, cadangan ini tidak membawa apa-apa makna..

"Mungkin satu hari nanti, KLIA akan diubah nama kepada Pakatan Harapan International Airport (PHIA) untuk menggambarkan imej Malaysia yang penuh dengan Harapan serta angan-angan," katanya. - UTUSAN ONLINE