Menurut penjelasan menerusi akaun Facebook beliau, dirinya adalah Orang Kaya Indera Shahbandar yang ke-11 yang diwarisi dari bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Orang Kaya Indera Shahbandar yang ke-10.

"Saya ada baca komen yang bertanya tentang gelaran Orang Besar Berempat saya di negeri Pahang. Sebelum ini, saya tidak pernah mengulas tentang perkara ini tetapi kali ini, biar saya jelaskan.

"Penghormatan ini diberi sejak tahun 1722 dan diwarisi dari turun temurun. Orang Kaya Indera Shahbandar adalah satu dari Orang Besar Berempat," katanya dalam akaun media sosialnya itu hari ini.

Jelasnya, bapanya mewarisi gelaran tersebut daripada susur galur salasilah keturunan yang berkait dengan Kesultanan Johor Riau.

"Saya diberi tanggunjawab oleh Istana Pahang untuk menjaga daerah Pekan iaitu dari Sungai Bebar ke Kuala Lepar. Pekan merupakan Bandar Diraja negeri Pahang dan juga adalah ibu negeri Pahang pada zaman dahulu," katanya.

Tambahnya, ia adalah satu daripada sejarah keunikan Melayu yang masih kukuh dipertahankan sehingga kini dan satu amanah yang dipikulnya dengan penuh ketaatan serta tanggungjawab.-UTUSAN ONLINE