Sesi itu yang bertajuk ‘Cabaran Untuk Wilayah Eropah Tenggara: Mengubah Perhijrahan Cendekiawan kepada Pemerolehan Cendekiawan’ turut melibatkan Menteri Hal Ehwal Luar Bosnia dan Herzegovina, Igor Crdanak bersama timbalannya, Almir Sahovic; Pengerusi Dewan Perniagaan Istanbul, Sekib Avdagic dan Pengarah Eksekutif Kementerian Pemprograman Bosnia dan Herzegovina, Resad Zacina.

Semua ahli panel akan membincangkan isu perhijrahan cendekiawan (brain drain) melibatkan negara-negara Eropah Tenggara dan Mohd. Redzuan akan diberi ruang berkongsi pengalaman Malaysia menangani masalah tersebut.

SBF adalah persidangan perniagaan dan pelaburan tahunan yang dianjurkan oleh Bosnia Bank International (BBI) dan tahun ini adalah penganjurannya untuk kali ke-10.

SBF menghubungkan institusi awam dan pelabur swasta dari seluruh dunia dengan komuniti perniagaan dan pemilik projek dari Bosnia dan Herzegovina, Albania, Croatia, Macedonia, Montenegro, Serbia dan Slovenia.

Ia menyediakan platform penting untuk rangkaian perniagaan dengan tumpuan khusus terhadap peluang perdagangan dan pelaburan di rantau Eropah Tenggara.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan Penaung dan Pengasas SBF. - UTUSAN ONLINE