Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata ia merupakan antara inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk menikmati buah-buahan tempatan sekali gus memberi peluang kepada kerajaan memperluaskan pasarannya ke luar negara.

Katanya, selain China, kempen itu akan dipergiatkan di Singapura, Korea Selatan, Jepun, negara Timur Tengah dan Eropah.

“Kita akan terus berusaha memperkenalkan buah-buahan tempatan lain seperti rambutan, pulasan, manggis dan rock melon, supaya ia dapat dipasarkan di luar negara terutamanya negara China kerana ia menjanjikan pasaran besar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Keusahawanan Tani, di Bakri, hari ini.

Salahuddin berkata selepas kejayaan mengeksport durian Musang King sejuk beku, pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan China untuk membawa masuk nangka madu dan buat masa ini beberapa prosedur serta protokol eksport sedang disiapkan oleh pihak MOA bagi menjayakan hasrat itu.

Katanya pihak berkuasa berkaitan dari negara itu juga akan melawat kebun dan ladang yang diusahakan petani bagi mengatur protokol dan melihat tahap kualiti serta keselamatan buah-buahan itu untuk dieksport pada masa akan datang.

“Apa yang penting ialah kita amat mementingkan kualiti selain kebun dan ladang terlibat perlu memiliki sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) untuk melayakkan mereka mengeksport buah-buahan ke luar negara.

“Ini merupakan antara fokus kementerian untuk membangunkan usahawan tani di samping memperkasakan industri hiliran seterusnya mempertingkatkan ekonomi dan sektor pertanian di negara ini,” katanya. - BERNAMA