Berlangsung dalam hujan, kesemua peserta khususnya pemilik dan pencinta motosikal jenis itu dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak tidak berganjak sehingga majlis tamat.

Lebih menarik, penampilan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke majlis itu dengan sanggup meredah hujan sambil menunggang motosikal Yamaha RX-Z mencuri tumpuan ramai.

Ahmad Samsuri kemudiannya menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Ketika berucap, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha semua pihak yang mampu memberi manfaat kepada rakyat termasuk bidang sukan.

Menurutnya, tidak terkecuali pembinaan Litar Permotoran Terengganu itu yang kini semakin digemari para peminat permotoran dari dalam dan luar negara.

"Selepas ini akan berlangsung beberapa kejohanan di litar ini iaitu Cub Prix Petronas pada 23 dan 24 Ogos diikuti Sprint Test Merdeka pada 30 dan 31 Ogos, Toyota Cargo pada 7 dan 9 September dan sebagainya," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Ahmad Samsuri turut teruja dengan sambutan menggalakkan daripada para peminat serta pemilik motosikal Yamaha RX-Z dari pelusuk negara atas 'semangat RX-Z' bagi menjayakan program himpunan itu kali ini.

" Saya difahamkan pendaftaran penyertaan ditutup setakat 10,000 orang tetapi jumlah sebenar yang datang pada Himpunan RX-Z ini mencecah kira-kira 18,000 orang. Tahniah juga kepada penganjur iaitu Persatuan Permotoran Terengganu," tambahnya. - UTUSAN ONLINE