Aminuddin berkata, kerajaan negeri memberi penekanan serius terhadap aspek perpaduan antara kaum di negeri ini.

"Saya percaya apabila berlaku integrasi kaum ia mampu memupuk semangat perpaduan, keharmonian pelbagai kaum dan cintakan negara.

"Selain ia juga dapat memupuk semangat hormat-menghormati, memahami adat dan budaya rakyat berbilang kaum," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam (amp) Bermesra Bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di sini.

Aminuddin berkata, kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan adalah kerajaan untuk semua rakyat di negeri ini dan berfikiran terbuka serta menghormati semua kebudayaan dan adat resam setiap kaum di Negeri Sembilan.

Tambahnya, Majlis Gabungan Pertubuhan India Negeri Sembilan melalui persatuan di bawah gabungannya sering menganjurkan pelbagai program kebajikan, kemasyarakatan, kebudayaan dan sukan.

"Usaha baik ini harus diteruskan pada masa akan datang kerana memberi kebaikan kepada masyarakat selain berharap mahu melihat Negeri Sembilan di bawah Pakatan Harapan agar lebih makmur, maju dan rakyatnya sentiasa bersatu padu," katanya. - BERNAMA