Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata, pertandingan dwitahunan itu berpotensi mencapai prestij yang tinggi seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia yang dianjurkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Ini juga merupakan antara inisiatif UTM dalam memajukan dunia sastera negara, Harapan kami agar pertandingan ini dapat menghasilkan sasterawan yang mapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Karya Pemenang Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan di Dewan Besar Utusan, Ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Wahid memberitahu, pihak­nya selaku penganjur berharap pertandingan itu akan mengasah lebih ramai bakat baharu dalam bidang penulisan genre fiksyen sains dan teknologi di negara ini.

“Kami percaya sayembara ini membantu dalam penghasilan karya penulisan yang berkualiti dan boleh dipasarkan secara meluas,” jelasnya.

Beliau juga yakin sayembara berkenaan akan menjadi penanda aras dalam mengukur kualiti karya kesusasteraan tempatan.

Wahid turut menghargai komitmen Kumpulan Utusan menganjurkan sayembara yang memasuki musim keempat itu bersama UTM sejak 2009.