Antara fokus kerjasama dua negara itu adalah dalam perkembangan industri halal termasuk penghasilan produk gelatin halal selain industri automotif yang dilihat sebagai potensi besar perdagangan kedua-dua negara pada masa hadapan.

Antara pemimpin yang ditemui ialah Datuk Bandar Sarajevo, Abdullah Skaka; Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan Luar Negeri dan Hubungan Ekonomi Bosnia dan Herzegovina, Mirko Sarojic dan Perdana Menteri Bosnia dan Herzegovina, Prof. Dr. Denis Zvizdic.

Mohd. Redzuan berkata, pertemuan beliau dengan pemimpin tempatan berjalan dengan lancar dan pelbagai potensi kerjasama dapat dibincangkan bersama.

Antara intipati penting perbincangannya dengan Denis Zvizdic ialah potensi kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan Bosnia mengalu-alukan kemasukan pelabur Malaysia dalam pelbagai sektor.

Antara yang ditekankan ialah sektor pelancongan, infrastruktur, automotif dan industri halal.

Dalam pada itu, Mohd. Redzuan berkata, khusus untuk industri halal, Abdullah Skaka menyatakan minatnya untuk meneroka sektor itu bersama Malaysia memandangkan Bosnia serta Sarajevo mempunyai kapasiti pengeluaran produk makanan yang tinggi.

“Nampaknya pertemuan itu memberangsangkan, hasrat mereka untuk terus bekerjasama dan memperkasa hubungan antara dua negara.

“Dalam industri halal, mereka sangat berminat dengan inisiatif yang kita lakukan. Saya fikir mereka mahu bersama kita untuk menjadi jaguh dalam industri ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau turut memaklumkan keinginan Bosnia untuk membantu mengembangkan pasaran Kereta Nasional Ketiga ke negara-negara Balkan, Eropah Timur malah termasuk Itali.

Sementara itu, pertemuannya bersama Mirko Sarojic membawa berita gembira buat pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) apabila Bosnia bersedia untuk berkolaborasi dengan Malaysia untuk mengembangkan industri tersebut.

Lebih menarik lagi, pembangunan modal insan turut mendapat perhatian kedua-dua pemimpin dengan bidang kejuruteraan dan pertanian menjadi fokus utama mereka. - UTUSAN ONLINE