Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof juga berpuas hati dengan jumlah kehadiran peserta ke program tersebut yang diaturkan dalam ma­sa singkat.

Menurutnya, isu sama ada kurang mendapat sambutan tidak patut dimainkan kerana tujuan utama adalah me­nyampaikan Dekla­rasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019 yang membawa lima mesej kedamaian.

“Soal ramai tak ramai itu perkara subjektif, tangkap gambar dari atas boleh tunjuk ramai atau tidak. Tapi kenapa orang tak lihat mesejnya kerana itu yang patut dibincang­kan.

“Malahan, dalam dunia media sosial hari ini semua prog­ram kita disiarkan secara langsung dan saya sempat tengok semalam bahawa ratusan ribu orang sedang menonton (di Facebook),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Rahmah Masjid di Masjid Al-Fateh, Tanjung Pauh, di sini hari ini.

MUJAHID YUSOF
MUJAHID YUSOF

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh.

Semalam, kira-kira 2,000 orang daripada pelbagai bangsa dan agama menyertai Himpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka susulan tragedi berdarah akibat serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand minggu lalu.

Dalam pada itu, Mujahid bersimpati terhadap Mufti Perlis, Datuk Mohd. Asri Zainul Abidin berikutan kejadian keretanya hampir musnah setelah disyaki dibakar ketika diletakkan di kediamannya.

“Saya tidak mahu membuat apa-apa spekulasi kerana kita perlu serahkan kepada polis, saya yakin polis dapat merungkai kenapa ia berlaku tetapi saya doakan agar tiada unsur-unsur yang membimbangkan dari segi ancaman keselamatan dan sebagainya.

“Perkara-perkara sebegini yang menyebabkan kita perlu adakan himpunan seperti semalam kerana kita tidak mahu hanya kerana beza pandangan sampai ada unsur begini yang mungkin lebih teruk boleh me­ngancam nyawa,” ujarnya.