Suspek yang berusia 38 tahun ditahan tidak jauh dari masjid berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi oleh sepasukan anggota polis.

Kejadian disedari oleh jemaah masjid yang ingin menunaikan solat subuh kira-kira pukul 6 pagi dan kemudian segera memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, susulan laporan itu sepasukan anggota polis datang ke tempat kejadian dan berjaya menahan suspek.

“Polis turut merampas satu tin cat berwarna ungu bersama suspek. Kita masih menyiasat kejadian ini dan tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai masalah mental.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab turut melahirkan rasa kesal mengenai kejadian itu dalam laman sosial Facebook membabitkan masjid berusia 600 tahun itu.

Turut kecewa dengan perbuatan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong yang menyifatkan kejadian itu mencemarkan bukan setakat rumah ibadat malah ia merupakan tempat warisan dan sejarah negeri. - UTUSAN ONLINE