Jelas Abdul Hadi dalam akaun Facebook beliau hari ini, ia kerana hukum tuhan mengajar untuk menarik manusia seramai mungkin ke arah kebaikan.

ABDUL HADI
ABDUL HADI 

“Dalam sesi dialog di Perak hujung minggu lepas, saya ditanya berkenaan sejarah dan latar belakang UMNO yang melakukan banyak perkara terhadap Pas dan ahli-ahlinya. Maka saya menerangkan kepada hadirin beberapa perkara penting untuk menjelaskannya.

“Pertama, kita kena sedar latar belakang ini bukan sahaja UMNO, Pas pun ada latar belakang. Dalam Pas, ada yang tengah-tengah kuat Pas, akhirnya lari daripada Pas. Manusia boleh berubah bila-bila masa.

“Jadi kita jangan pakai hukum akal, kena pakai hukum Allah. Hukum Tuhan yang mengajar kita menarik manusia seramainya kepada kebaikan,” katanya dalam akaun media sosialnya itu.

Kebelakangan ini, UMNO dan Pas membentuk kerjasama yang antara lain bertujuan menyatukan ummah demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Menurut Abdul Hadi lagi, apabila melihat orang lain melakukan kesalahan, tanggungjawab yang perlu dimainkan bukan menghukum, tetapi menasihati supaya kembali ke pangkal jalan kerana takdir seseorang pada masa akan datang adalah urusan Allah.

“Langkah kita adalah mengajak manusia seberapa ramai kepada Islam. Orang yang salah balik ke jalan yang betul.

“Dalam Islam, membetulkan orang hendaklah diutamakan daripada menghukum orang. Jangan menghukum dulu, kalau boleh biar orang itu kembali ke pangkal jalan. Ini tanggungjawab kita,” katanya.

Kata Ahli Parlimen Marang itu lagi, perlu disedari dalam Pas, apa yang boleh dibuat hanya zahir sahaja.

“Ada orang kuat Pas, habis-habisan dia kuat, saat akhir dia meninggal, dia melawan kita. Ada orang dia lawan kita, saat akhir dia jadi baik dengan kita,” katanya.-UTUSAN ONLINE