Timbalan Menterinya, Chong Chien Jen berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pemegang AP yang dikeluarkan kementerian itu jika terbukti mereka menyalahgunakan kemudahan berkenaan.

"Buat masa ini kementerian belum menerima sebarang laporan berkaitan salah guna AP yang dikeluarkan KPDNHEP.

"Sebagai contoh, AP untuk mengimport gula hanya dikeluarkan kepada pengeluar produk makanan dan minuman dan polisi itu baru sahaja dilaksanakan tahun lalu dan setakat ini tiada sebarang laporan salah guna AP gula dilaporkan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Seni Kebangsaan 2019, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan sebuah akhbar tempatan mendedahkan AP bagi mengimport pelbagai barangan makanan seperti tepung, ayam dan kubis bulat yang dikeluarkan kerajaan, dikesan diiklankan untuk dijual secara meluas oleh penerima kemudahan itu menerusi laman sesawang dan media sosial.

Mengulas lanjut Chien Jen berkata, Kajian Pasaran Sektor Makanan dikendalikan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) baru-baru ini mendedahkan wujud unsur penyalahgunaan AP mengimport kubis bulat yang menimbulkan isu persaingan dan menyebabkan harga sayur meningkat.

“Kita panggil (salah guna AP) sebagai sewaan yang mana mereka akan mendapat komisyen daripada beberapa AP dan pada masa sama menyebabkan harga barangan menjadi lebih tinggi untuk pengguna.

“Justeru MyCC telah mencadangkan supaya dasar pemberian AP import dan penerimanya disemak semula,” katanya. - UTUSAN ONLINE