Rasanya tiada pun perkara itu dalam manifesto PH, tetapi perkara tersebut seakan sukar dibendung. Lepas satu, satu diberi nama baru sampai jadi bahan dalam Facebook dan Twitter. Ada-ada sahaja.

Hari ini pula riuh mengenai cadangan menukarkan nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang pernah dibangkitkan dalam mesyuarat kerajaan negeri Selangor suatu masa dahulu.

Walaupun dokumen itu bukan baharu, namun apabila didedahkan hari ini ia sekelip mata menjadi tular rentetan beberapa penjenamaan semula dengan yang terbaharu Program Permata Negara (Permata) kepada Genius kelmarin.

Hakikatnya pemilihan nama sesebuah lapangan terbang bukan dilakukan sesuka hati, ada negara yang melantik firma perunding untuk mengkaji nama yang dipilih supaya memberi pulangan terbaik dari sudut pemasaran selain aspek lain seperti objektif dan mencerminkan wajah negara.

Ya, pemilihan nama lapangan terbang kebiasaannya berdasarkan lokasi tetapi itu tidak semestinya dan menurut sebuah artikel yang pernah disiarkan media antarabangsa, 75 peratus lapangan terbang di seluruh dunia mengguna pakai kaedah tersebut.

Bakinya macam-macam lagi, nama ikon seperti pemimpin politik, tokoh seni, legenda sukan atau tarikan utama di lokasi lapangan terbang.

Belfast City Airport dinamakan kemudian sempena legenda bola sepak, George Best. Di Singapura, ada petisyen beberapa tahun lalu yang mencadangkan Lapangan Antarabangsa Changi dinamakan sempena bekas Perdana Menteri mereka, Lee Kuan Yew.

Andailah KLIA itu ditukar nama kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, mungkin Malaysia satu-satunya negara berbuat demikian yang menukar nama lapangan terbang supaya bertepatan dengan nama lokasi sebenar.

Mujur tiada perubahan dan sebenarnya, KLIA yang dikenali seluruh dunia tidak terikat untuk dikenali sebagai Sepang International Airport dan kenapa nama KLIA dipilih tentunya setelah melalui penelitian mendalam.

Cuma pihak yang menimbulkannya setelah 20 tahun lapangan terbang berkenaan beroperasi memang menghairankan. Penjenamaan semula tidak semestinya menukar nama tetapi pengisiannya secara keseluruhan.

Ada lapangan terbang kekal dengan nama asal walaupun setelah dijenamakan semula. Yang bertukar adalah wajah serta kemudahan dari kelas pertama kepada kelas dunia. Ini yang KLIA perlu, bukan tukar nama.

Pemimpin PH pun, setiap pengubahsuaian, penambahbaikan program atau penjenamaan semula bukan bermakna mesti tukar nama yang hanya membabitkan kos.- UTUSAN ONLINE