Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, siri perbincangan masih perlu dilakukan berikutan tindakan Kerajaan Persekutuan yang menjadi pencelah dalam kes saman Kerajaan Negeri terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Beliau berkata, buat masa ini, urusan teknikal penarikan saman royalti minyak dengan pihak Petronas dijangka selesai sepenuhnya pada 12 Jun ini.

“Kita sudah tarik saman secara total dan insya Allah kita tidak akan saman lagi Petronas pada masa hadapan.

“Cuma tinggal lagi dengan Kerajaan Persekutuan, ada beberapa perbincangan lagi, kita dimaklum oleh pihak Penasihat Undang-undang negeri bahawa kita perlu tunggu perbincangan dengan Peguam Negara.

“Tidak berbangkit kita tidak tarik saman (terhadap Kerajaan Persekutuan), bagi kita semuanya sepatutnya sudah selesai, cuma perlukan perbincangan antara pegawai,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini kes penarikan saman royalti minyak terhadap Petronas dan Kerajaan Persekutuan.

Media hari ini melaporkan berlangsungnya prosiding penarikan balik saman Kerajaan Kelantan terhadap Petronas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Bagaimanapun, peguam Aleeya Elyana Ahmad Mahreez yang mewakili kerajaan Kelantan dilaporkan berkata, kes saman terhadap Kerajaan Persekutuan masih diteruskan susulan tiada sebarang arahan berhubung tindakan undang-undang tersebut. - UTUSAN ONLINE