Beliau berkata, kajian itu bertujuan bagi memantapkan lagi pertahanan dan kawalan keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) yang sering berlaku jenayah rentas sempadan.

“Kerajaan sentiasa memberi keutamaan dalam usaha untuk meningkatkan keselamatan negara di peringkat tertinggi dengan penambahan keperluan aset pertahanan berdasarkan keperluan semasa.

“Contohnya, mempertingkatkan lagi keupayaan peralatan dan sensor pengesanan serta memperkemaskan prosedur keselamatan di Esszone, selain mencadangkan penempatan pangkalan tentera udara di Esszone. Ini bagi memastikan pemantauan aktiviti jenayah rentas sempadan mampu dikesan dan ditangani secara efektif dan efisien,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Japlin Akim (BERSATU-Usukan) yang ingin tahu apakah cadangan kerajaan untuk menambah aset pertahanan di Sabah dan bilakah penstrukturan semula Esscom dilaksanakan.

Mohd Shafie berkata, berikutan kekerapan berlakunya jenayah rentas sempadan dan ancaman keselamatan di kawasan pantai timur Sabah, sebelum ini Kerajaan Negeri juga telah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan agar Kem Lok Kawi yang terletak kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu dipindahkan ke kawasan pantai timur Sabah.

“Cadangan pemindahan ini bertujuan untuk memantapkan keberkesanan kawalan keselamatan dan kedaulatan negara di persekitaran kawasan Esszone,” tambahnya. - BERNAMA