Ketua Menteri, Chow Kon Yeow hari ini berkata, peguam kepada pemilik tanah yang terletak di Lebuh Victoria di sini telah menawarkan beberapa penyelesaian kepada kerajaan negeri berhubung isu pengambilalihan aset berkenaan tanpa perlu dibawa ke peringkat Mahkamah Rayuan.

“Kerajaan negeri sedang menimbang cadangan-cadangan ini tetapi ini tidak akan menghakis hak kita untuk teruskan rayuan,” katanya di sini bagi mengulas kedudukan kedua-dua bangunan dan tanah itu yang dicadangkan untuk dijadikan sebagai sebuah pusat pendidikan warisan.

Beliau berkata, projek pembangunan pusat pendidikan warisan itu terhenti ekoran tindakan pemilik bangunan dan tanah berkenaan untuk mencabar hak kerajaan negeri menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil alih hartanah berkenaan.

Menurutnya, kerajaan negeri terpaksa menghentikan projek berkenaan selepas mahkamah membuat keputusan kerajaan negeri tidak berhak menggunakan akta itu untuk tujuan pendidikan, kerana pendidikan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Chow berkata, susulan pengambilalihan hartanah itu, kerajaan negeri telah membayar sejumlah pampasan kepada pemiliknya sebelum memulakan pembangunan projek yang dianggarkan kira-kira RM10 juta itu dalam bulan Mac 2017.

Menurutnya, syarikat yang dilantik membangunkan projek itu telah menyiapkan kerja-kerja awal pemulihan bangunan, merobohkan bahagian yang tidak sesuai dan mendirikan bumbung sementara untuk melindungi bangunan warisan berkenaan.

“(Kos) kerja yang sudah siap dianggarkan lebih RM1 juta tetapi memandangkan ada keputusan mahkamah ini, pihak kerajaan negeri dan PDC perlu mematuhi perintah mahkamah dan memutuskan untuk menghentikan kerja-kerja (baik pulih) dan membuat rayuan ke mahkamah rayuan,” katanya.

Berikutan pemberhentian kerja-kerja berkenaan sementara menunggu keputusan rayuan itu, beliau berkata, kontraktor yang terlibat turut ditamatkan kontrak dan dibayar berdasarkan kerja-kerja yang sudah disiapkan. - BERNAMA