Kerjasama itu antara lain membuka ruang kepada syarikat-syarikat tempatan berdaya saing yang dikenal pasti oleh kementerian untuk diketengahkan melalui platform-platform jenama milik AirAsia iaitu Santan dan T&CO serta laman e-dagang seperti Ourshop dan ROKKI.

Menerusi kerjasama itu, produk keluaran lebih 550 pengusaha tempatan akan ditawarkan melalui menu dalam penerbangan AirAsia tanpa sebarang caj penyenaraian, dalam usaha memperluaskan tawaran produk mereka.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya komited dalam membina dan mempertingkatkan sektor perdagangan dalam negeri serta akan terus menjalankan pelbagai inisiatif yang dapat membantu usahawan tempatan.

“Sehubungan itu, kerjasama hari ini sangat signifikan sebagai satu lonjakan besar untuk usahawan-usahawan tempatan mencapai pasaran lebih luas. Ia juga bertepatan dengan dengan usaha kerajaan mempertingkatkan Kempen Beli Barangan Malaysia.

“Sebelum ini, usaha kementerian dalam mempromosikan produk tempatan menumpukan di daratan tetapi sekarang, ketika usaha masih dijalankan di daratan, kementerian menoleh pula ke udara, dan dengan platform yang ditawarkan oleh AirAsia,” katanya ketika berucap pada Majlis AirAsia Menyokong Kempen Beli Barangan Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution menjelaskan, di bawah kerjasama bersejarah itu, AirAsia akan memainkan peranan penting dengan menawarkan platform yang dapat membantu usahawan tempatan mencapai jutaan pelanggan seluruh dunia.

“Peranan kementerian pula adalah untuk mengenal pasti usahawan tempatan yang berpotensi bagi kerjasama ini. Kita juga akan membantu mereka memperbaiki produk dengan pelbagai program perniagaan.

“Selain itu kementerian berperanan dalam menasihati usahawan terlibat tentang pengeluaran dan kawalan kualiti bagi membolehkan mereka menepati piawaian dikehendaki oleh AirAsia,” katanya lagi.

Kementerian tambahnya, turut akan membimbing dan memudahkan pihak usahawan bagi proses memohon pelbagai lesen dan membantu golongan itu menguruskan aduan sebaik-baiknya.

Sementara itu, Tony berkata, menerusi kerjasama itu, pengusaha-pengusaha tempatan terpilih dapat memanfaatkan sebaik-baiknya peluang untuk berada di pasaran yang lebih luas malah mereka tidak perlu membayar caj penyenaraian sebanyak RM5,000.

“Selain itu, saya berpendapat, makanan segera buatan Malaysia akan menjadi popular di luar negara dari segi kualitinya. Kita berhasrat membawa jenama Santan ke lapangan lebih luas dan berharap ia jadi popular seperi rangkaian makanan segera antarabangsa yang lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE