Laporan kepada SPRM berkenaan adalah kesinambungan daripada laporan yang telah dibuat kementerian pada 21 Februari lalu melibatkan projek yang terletak di Paloh, Johor dan Hutan Melintang, Perak.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Pertahanan, Mohd. Nasaie Ismail berkata, terdapat kes yang mana projek terbabit menghadapi masalah kelewatan sehingga 11 tahun untuk disiapkan.

“Hasil siasatan menganggarkan kerajaan telah rugi sebanyak RM515.21 juta berdasarkan kepada perlanjutan masa projek yang gagal disiapkan segera, kontrak-kontrak tambahan yang tidak termasuk dalam perancangan dan penetapan nilai tanah gentian yang lebih rendah daripada harga semasa yang dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Kebimbangan kita, kerajaan bukan sekadar kerugian nilai wang tetapi juga kedudukan strategik pertahanan negara terjejas disebabkan kegagalan projek-projek tersebut. Atas semangat mempertahankan kedaulatan negara dan agar perkara yang sama tidak berulang lagi di bawah pentadbiran baharu, maka laporan akan dibuat kepada pihak SPRM untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di depan bangunan Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Difahamkan, projek yang menghadapi masalah kelewatan sehingga 11 tahun itu melibatkan Projek Penswastaan Kem Transit dan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.

Land Swap merupakan satu kaedah pembangunan kem-kem tentera, perumahan anggota tentera dan fasiliti-fasiliti lain yang dibiayai melalui pertukaran tanah milik Persekutuan yang diberikan kepada pihak swasta yang membangunkannya.

Ia adalah satu kaedah untuk menangani kekangan kewangan kerajaan di sebalik keperluan yang besar terhadap pembangunan.

Keseluruhan 16 projek land swap itu melibatkan 2,923 ekar tanah milik Persekutuan yang bernilai RM4.7 billion dan nilai projek yang sepatutnya dibangunkan adalah sebanyak RM4.8 billion.

Sehingga Disember 2018, hanya lima projek telah disiapkan, dua dalam pembinaan dan baki sembilan projek lagi sama ada gagal disiapkan atau masih dalam proses untuk ditandatangani. - UTUSAN ONLINE