Perbuatan itu berterusan sejak empat bulan lalu sehinggalah ibu kandung kanak-kanak tersebut berusia 32 tahun serta tomboi yang berusia 33 tahun itu ditahan di lokasi berbeza di Kepala Batas dan Butterworth kira-kira pukul 3.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, penahanan suspek dibuat susulan aduan yang diterima polis pada Ahad lalu daripada anak perempuan suspek yang berusia 12 tahun.

KANAK-KANAK perempuan berusia 12 tahun yang menjadi mangsa dera ibu kandungnya di rumah mereka
KANAK-KANAK perempuan berusia 12 tahun yang menjadi mangsa dera ibu kandungnya di rumah mereka di Tasek Gelugor, Pulau Pinang menunjukkan kesan lebam di bahagian betis. - UTUSAN ONLINE

“Mangsa bersama dua lagi adik lelakinya yang masing-masing berumur lapan dan empat tahun telah dipukul oleh ibu kandung mereka dengan menggunakan tali pinggang semasa berada di rumah.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati kejadian dera ini berlaku sejak empat bulan yang lalu selepas ibu kandung mangsa berkenalan dan membawa pulang seorang tomboi tinggal bersama keluarga mereka,” katanya hari ini.

Menurut beliau setiap kali ibu kandung mangsa bergaduh dengan tomboi tersebut, mangsa dan adik-adiknya akan dipukul oleh ibu kandung mereka.

Malah Noorzainy berkata, suami suspek yang berusia 33 tahun juga telah dihalau selepas dia berkenalan dengan tomboi itu.

“Kejadian dera dan pukul ini dikesan guru sekolah dua kanak-kanak tersebut selepas mereka kerap tidak hadir ke sekolah.

“Pemeriksaan mendapati dua beradik masing-masing darjah enam dan dua itu selalu di pukul ibu mereka sebelum pihak sekolah memaklumkan kepada bapa mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pihak polis juga telah merampas seutas utas tali pinggang yang digunakan untuk memukul mangsa.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan daripada pihak hospital mendapati tiada kesan luka atau lebam pada badan ketiga-tiga mangsa dan mereka juga tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kedua-dua suspek direman hari ini di Mahkamah Butterworth bagi tujuan siasatan,” katanya. - UTUSAN ONLINE