Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin berkata, sebagai anak jati Pahang, beliau berasa dukacita kerana kerana kehilangan seorang Sultan yang berjiwa rakyat, mudah didampingi dan disenangi ramai.

“Sebagai rakyat Pahang yang berpeluang membuat persembahan di hadapan Almarhum Tuanku sejak saya bersekolah rendah dan seterusnya menjadi artis, banyak kenangan yang bermakna dan akan saya ingati sampal bila-bila,” kata Siti.

Justeru, Siti dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Diraja Pahang.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac menyifatkan kemangkatan Sultan Hj Ahmad Shah sebagai satu kehilangan besar buat seluruh rakyat Pahang dan juga penggiat seni.

HANS ISAAC
HANS ISAAC 

Katanya, Sultan merupakan seorang individu yang begitu menyokong selebriti tempatan selain memberi pengiktirafan sebagai tanda sokongan.

“Keluarga saya dan Almarhum sememangnya telah bersahabat baik sejak ayah saya sekolah lagi. Pemergiannya amat terasa kerana kami bagai sebuah keluarga.

“Dari dahulu Almarhum banyak membantu golongan artis dan sudah tentu kami merasai kehilangan besar di kala ini.

“Segala momen bersamanya akan menjadi satu kenangan indah buat saya dan saya akan turun memberi penghormatan terakhir buat Almarhum nanti,” jelas Hans.

Dalam masa yang sama, penyanyi dan chef selebriti Datuk Fazley Yaakob juga meluahkan rasa sedihnya kerana terlalu banyak kenangan manis bersama Almarhum.

FAZLEY YAAKOB
FAZLEY YAAKOB 

“Almarhum banyak menyokong kerjaya semenjak saya mula-mula jadi penyanyi lagi. Setiap kali Almarhum hadir menonton persembahan saya, saya tidak akan lupa menyanyikan lagu Sepanyol kegemarannya iaitu Beautiful Maria.

“Saya juga tidak lupa apabila Almarhum mengucapkan terima kasih kerana saya pernah memartabatkan nama Pahang di mata dunia apabila membawa Datuk Seri Siti Nurhaliza mengadakan konsert di Royal Albert Hall, London.

“Menjelang konsert tersebut, saya dan arwah ayah saya sendiri yang menjemput Almarhum dan keluarga untuk menyaksikan konsert Siti di sana. Kata Almarhum, demi martabat Pahang Almarhum sanggup turun padang menonton konsert.

“Sebagai pakar motivasi juga, Almarhum nasihatkan saya agar meneruskan kerjaya ini untuk terus meningkatkan semangat masyarakat terutamanya rakyat Pahang.

“Marilah kita sama-sama doakan agar roh sultan berjiwa rakyat ini dicucuri rahmat dan bersama orang-orang beriman,” kata Fazley.

Turut berkongsi kesedihan, penyanyi legenda Datuk Khadijah Ibrahim yang berasa ralat kerana tidak dapat menziarahi Baginda di saat sedang gering.

KHADIJAH IBRAHIM
KHADIJAH IBRAHIM 

Biarpun memahami protokol pihak Istana, dia akur dan berasa kehilangan ketua yang berjiwa rakyat.

“Kita tahu Tuanku sedang sakit ketika itu tetapi tidak dapat melawat. Pada kebiasaan orang yang tak berapa sihat, saya tetap ada niat untuk menziarahi.

“Tetapi saya memahami kerana dia adalah Sultan, maka saya rakyat biasa ini harus akur dengan protokol .

“Saya rasa sugul dan hilang seorang ketua yang banyak memartabatkan insan seni seperti kami.

“Seringkali Alhmarhum menjemput saya untuk membuat persembahan dan tidak pernah pun saya terlepas untuk menjayakannya.

“Kemangkatannya di bulan yang baik dan hari yang baik,” katanya.

Melihat ini sebagai satu kehilangan besar buat rakyat Pahang, pelakon 90-an  Datuk Seri Eizlan Yusof turut menyampaikan ucapan takziahnya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta seluruh kerabat diraja Pahang.

EIZLAN YUSOF
EIZLAN YUSOF 

Berkongsi sifat Almarhum yang dianggapnya sangat peramah, kongsi Eizlan dia juga tidak akan melupakan jasa Sultan dalam mengiktiraf anak seni di negara ini.

“Paduka ayahnda adalah seorang yang sangat peramah. Malah sikapnya itu juga membuatkan saya sangat menghormatinya sebagai seorang pemimpin.

“Tentunya jasa Almarhum dalam membantu industri kreatif di negara ini untuk berkembang selain sangat menitiberatkan  kebajikan insan seni akan sentiasa diingati.

“Saya doakan roh Almarhum dicucuri rahmat dan bersama-sama orang beriman,” kongsinya. - UTUSAN ONLINE