Pameran kartun itu merupakan ilham dan anjuran tokoh kartunis, Rosidi Semail, 70, atau lebih dikenali dengan nama Rossem dan setakat ini, sebanyak 400 karya dipamerkan secara percuma untuk tatapan pengunjung.

Turut menyertai pameran yang berlangsung selama dua bulan sejak 20 Januari lalu ialah kartunis tersohor negara, Datuk Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohamad Noor Khalid.

Menurut Rossem, pameran itu dianjurkan bertujuan memartabatkan karya kartun sebagai perantara yang mempunyai falsafah dalam menyampaikan pelbagai mesej kemanusiaan di seluruh dunia.

"Karya kartun juga mampu menjadi pentas penyatuan dan menyuntik kesedaran melalui perkongsian rasa atau maklum balas yang dizahirkan secara simbolik di atas sekeping kanvas oleh kartunis," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian pameran itu yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr. Radzi Jidin di BKR, Peringat, di sini hari ini.

Sementara itu, Radzi berkata, beliau kagum melihat sebanyak 400 lukisan kartun bertemakan kemanusiaan yang dipamerkan dalam pameran itu.

"Industri kartun juga memainkan peranan positif kepada pembangunan negara. Saya juga melihat pameran ini satu inisiatif yang amat baik, lebih-lebih lagi apabila peserta dari 35 negara menyertainya.

"Kemudahan sedia ada di BKR ini perlu ditambah baik dan kita akan berhubung dengan beberapa kementerian lain bagaimana boleh membantu memajukan BKR,” katanya. - UTUSAN ONLINE