Karnival yang julung-julung kali diadakan ini dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof dalam majlis yang turut dihadiri oleh Duta Malaysia ke Bosnia, Zakri Jaafar dan Presiden Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM), Datuk Nurammar Abu Bakar.

Dalam ucapan perasmiannya, Mohd. Redzuan menzahirkan rasa syukurnya atas penganjuran MEHC yang menandakan usaha sama lebih giat antara Malaysia dengan Bosnia dan Herzegovina dalam sektor halal.

"MEHC adalah permulaan kepada usahasama pintar antara Malaysia dengan Bosnia dan Herzegovina.

"Oleh itu, saya minta semua usahawan yang hadir hari ini supaya lebih aktif dan agresif mencari peluang dalam persekitaran perniagaan yang sangat luas ini, bina asas untuk mencapai kejayaan yang lebih besar sebagai rakan niaga di sini," katanya.

MEHC dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan PPIPBM bersempena Forum Perniagaan Sarajevo (SBF) 2019 yang bermula semalam.

Sebanyak 34 syarikat Malaysia daripada pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, penjagaan diri, kosmetik dan produk farmaseutikal akan mengambil bahagian sebagai peserta pameran di MEHC.

Dengan penduduk seramai 3.8 juta orang, Bosnia Herzegovina merupakan lokasi yang strategik untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia khususnya yang mengikuti pasaran menguntungkan di Wilayah Balkan dan tenggara Eropah. - UTUSAN ONLINE