Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, untuk itu, pihaknya akan meminta kerjasama daripada sektor swasta bagi melaksanakannya secara meluas.

"Dari dulu lagi pemakaian baju batik ini memang telah diwajibkan untuk kakitangan awam setiap hari Khamis. Jadi sekarang, kita mahu penguatkuasaan semula termasuk menggalakkan sektor swasta turut serta.

"Setakat ini, sudah ada sektor swasta yang bersetuju dengan pemakaian batik ini seperti kakitangan hotel," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus bersama usahawan kraf negeri Kelantan di Pejabat Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Haslina Abdul Hamid; Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Saraya Arbi dan Ketua Pengarah Kraftangan, Ibrahim Ismail.

Pada sesi berkenaan, hadirin turut mendengar pembentangan Resolusi Kolokium Sejarah dan Evolusi Batik Malaysia.

Dalam pada itu, Mohamaddin berkata, pihaknya kini sedang dalam kajian untuk menyelaraskan harga batik.

"Kita tidak mahu harga batik terlalu mahal kerana jika harga batik mahal, tidak semua orang mampu membelinya.

"Jadi, kita dalam usaha untuk mengkaji bagi meletakkan harga batik yang berpatutan dan mampu milik," katanya. - UTUSAN ONLINE