AL-WALEED KHALID AL-SHAMSAN
AL-WALEED KHALID AL-SHAMSAN 

Juri daripada Arab Saudi, Dr. Al-Waleed Khalid Al-Shamsan berkata, kaedah pengasingan semua 14 hakim dalam bilik khas menjadikan penilaian dibuat secara adil dan teliti serta lebih berkesan berbanding kaedah di negara lain.

Selain itu katanya, jemaah hakim juga tidak mengetahui identiti peserta selepas ditempatkan di bilik khas.

“Pertandingan kali ini agak berlainan kerana hakim diletakkan dalam bilik berasingan.Malah, penghakiman agak sukar kerana banyak peserta terbaik dengan menunjukkan kecemerlangan serta prestasi tinggi.

“Selain itu, kemudahan yang disediakan untuk para peserta juga sangat baik dan lengkap dan ini sudah semestinya memberikan keselesaan kepada kami,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sebanyak 14 hakim dari Malaysia, Indonesia, Arab Saudi, Singapura, Brunei, Jordan dan Mesir dijemput untuk menjadi juri dalam majlis kali ini yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Program bertemakan Menyantuni Umat Membawa Rahmat itu diadakan selama enam hari bermula hari ini melibatkan 107 peserta tilawah dan hafizan dari 71 negara.

NORDIN IBRAHIM
NORDIN IBRAHIM 

Dalam pada itu, Pengerusi Jemaah Hakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, Malaysia menggunakan sistem penghakiman berbeza berbanding negara lain bagi membuat penilaian secara semak dan imbang.

Namun katanya, kaedah pemarkahan tetap sama dengan penganjuran sebelum ini kerana terbukti memberi penilaian terbaik serta diperakui diperingkat antarabangsa.

“Jemaah hakim membuat penilaian dan memberi markah melalui pendengaran semata-mata tanpa mengetahui identiti peserta.

“Setiap hakim ditugaskan membuat penilaian mengikut bidang antaranya tajwid dan taranum seramai empat orang, manakala fasahah (kelancaran) serta suara tiga orang disamping tiga hakim lain diatas pentas,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE