Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika memberi jaminan itu berkata, kerajaan negeri tidak menghadapi sebarang masalah mengenai perkara itu namun buat masa ini pihaknya masih menunggu maklumat lengkap daripada SPRM.

"Kita masih tunggu maklumat lengkap dari SPRM dan kita akan bincang mengenainya. Kita ingin selaras dulu dengan rakan-rakan negeri lain dan kita masih belum buat keputusan akhir bagaimana kita nak buat.

"Secara umumnya kita tak ada sebarang masalah untuk pengisytiharan harga dan sebagainya, cuma dari segi teknikal yang perlu kita selesaikan," katanya selepas menyempurnakan majlis Pelancaran Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Majllis pelancaran itu turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Bentara Dalam A. Rahman Yahya; Pengerusi Institut Integriti dan Strategik Terengganu (TSIS), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil.

Menteri Besar diminta mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya semalam yang mewajibkan semua ADUN mengisytiharkan harta masing-masing kerana negeri-negeri berisiko menjadi lubuk rasuah.

Ahmad Samsuri berkata, pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama kepada SPRM berhubung perkara itu atas komitmen serta tanggungjawab kerajaan negeri untuk sama-sama memerangi gejala rasuah.

Mengenai DIDI, beliau berkata, pelaksanaan dasar di bawah peruntukan berjumlah RM2 juta itu merangkumi pelbagai pengisian program termasuk seminar, kursus serta latihan yang melibatkan seramai 1,600 penjawat awam di negeri ini.

"Bajet keseluruhan adalah RM2 juta termasuk program latihan lain yang turut seperti kecekapan, peningkatan kemahiran kakitangan dan kita masukkan juga isu-isu integraiti dan penerapan anti rasuah kalangan pegawai," tambahnya. - UTUSAN ONLINE