Berikut merupakan butiran penuh sidang akhbar berkenaan.

Pada hari ini, apa yang saya ingin saya sampaikan ialah berhubung isu tangkapan SPRM terhadap pegawai dan penguat kuasa JPJ khususnya di Pulau Pinang dan setakat ini kita dimaklumkan dan telah keluarkan dalam berita iaitu seramai 24 penguat kuasa JPJ Pulau Pinang ditahan untuk siasatan. Kita sebenarnya kena faham dan bezakan tangkapan untuk dituduh di mahkamah dan tangkapan untuk membantu siasatan dan buat masa sekarang, saya difahamkan masih di dalam siasatan.

Jadi tidak ada penghakiman dan pengisytiharan apa yang berlaku kepada mereka yang ditahan, prosesnya ialah apabila ditahan ianya akan disiasat dan apabila disiasat nanti ia memerlukan tempoh yang lama iaitu mengikut undang-undang dia (SPRM) boleh menahan mengikut keputusan mahkamah atau majistret iaitu maksimum selama 14 hari dan perintah reman telah dikeluarkan selama tujuh hari.

Di sini saya ingin menekankan bahawa, kita akur dengan penahanan tersebut kerana ia merupakan tugas utama SPRM dan berkaitan isu integriti dan tangungjawab pegawai-pegawai awam termasuk JPJ. Jadi, semestinya kami di JPJ akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM kerana perkara ini adalah serius. Saya memberikan amaran kepada semua pegawai-pegawai JPJ bahawa isu integriti tiada kompromi dan tolak ansur. Sekiranya ada tangkapan, penahanan dan siasatan oleh SPRM atau mana-mana pihak berkuasa kita tidak akan mempertahankan, malah akan bantu siasatan.

Jika ada tangkapan, kita tidak akan halang kerana kita mahu JPJ bersih daripada elemen-elemen rasuah, penyalahgunaan kuasa dan juga isu integriti. Kerana untuk makluman semua pada ketika ini, kerajaan mengharapkan JPJ sebagai salah satu pengutip hasil kerajaan yang terbesar dan kalau ikut turutan yang pertama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kedua Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), ketika Jabatan Imigresen dan yang keempat ialah JPJ.

JPJ juga telah ditetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) oleh Menteri Pengangkutan supaya membuat kutipan hasil tahunan pada tahun ini sebanyak RM4.3 bilion yang mana pada tahun lepas kita kutip sebanyak RM4.2 bilion, jadi kalau berlakunya rasuah dan salah guna kuasa begini ianya mengambarkan ada ketirisan hasil kerajaan.

Jadi, saya tidak akan berkompromi dengan perkara ini, kita kena teruskan kerja dengan jujur dan amanah. Itu pesanan saya kepada pegawai dan anggota JPJ, kita tiada tolak ansur dalam perkara ini dan isu integriti perlu ditegakkan supaya JPJ di samping mengutip hasil yang banyak untuk kerajaan kita juga dilihat sebagai agensi yang cemerlang dengan berintegriti, itu matlamat saya sebagai Ketua Pengarah. Ingat itu semua.

Setelah apa yang berlaku ini, saya kena pastikan bahawa operasi JPJ di Pulau Pinang iaitu di antara negeri yang memberikan banyak hasil kepada JPJ terus berjalan dan untuk itu beberapa langkah telah dibuat iaitu pertama saya mengarahkan Pengarah JPJ Pulau Pinang meneruskan semua agenda yang telah dirancang terutamanya urusan operasi dalam penguatkuasaan tanpa berhenti, kedua saya mengarah negeri-negeri berhampiran iaitu Kedah dan Perak memberikan sokongan dengan menghantar anggota penguat kuasa mengikut jumlah tertentu yang diperlukan di Pulau Pinang dan saya mahu zon utara bekerjasama dan jangan anggap ini satu halangan atau bebanan kepada JPJ. Ini hanyalah gangguan sedikit sahaja, kita tidak mahu dengan penahanan 24 penguat kuasa ini JPJ dilihat sebagai lumpuh.

Saya tidak mahu ada pihak mengatakan bila ada JPJ yang ditangkap semua agenda akan tergendala, saya tidak mahu begitu. Kita akan teruskan dan saya telah minta pengarah-pengarah negeri berkaitan memberikan bantuan dan kerjasama dalam hal ini agar Pulau Pinang dapat meneruskan agenda seperti biasa. untuk makluman semua, sehingga malam tadi Pulau Pinang masih menjalankan operasi penguatkuasaan macam biasa tanpa sebarang masalah.

Untuk memastikan hasil kutipan tercapai seperti yang diharapkan, JPJ juga mengorak langkah seperti dalam tahun ini ada sambutan Hari JPJ dengan tema ‘Digitalisasi Ke Arah Intergiti’. Maksudnya kita cuba mengurangkan hubungan kemanusiaan dalam transaksi JPJ, yang pertama kita buat e-Bidding untuk 'FC' yang masih berlangsung sehingga Sabtu ini. E-biding secara dalam talian tidak ada hubungan manusia dengan manusia. Kedua ialah kita sedang kaji untuk buat e-Testing untuk pemanduan, tetapi perkara ini akan diumumkan oleh menteri nanti.

Dalam hal ini, JPJ sedang mengorak langkah ke arah lebih moden dan mengurangkan hubungan kemanusiaan dan seterusnya meningkatkan integriti, tangkapan yang berlaku di Pulau Pinang hanyalah sebahagian yang kita rasakan tidak bertangungjawab, itu sahaja. Tetapi itu bukan imej sebenar JPJ, jumlahnya hanya 24 daripada 8,000 dan insya-Allah JPJ akan terus bergerak seperti biasa dan lebih kental lagi menghadapai suasana begini.

JPJ juga mempunyai program Sistem Pengurusan Anti-Rasuah dan akan memperkemaskan lagi sistem berkenaan. Kita juga ada bahagian integriti bagi memastikan integriti semasa menjalankan tugas sentiasa ditegakkan oleh semua anggota dan pegawai JPJ.

Soalan: Jumlah pegawai dan penguat kuasa JPJ di Pulau Pinang?

-Terdapat sebanyak 457 pegawai dan penguat kuasa di Pulau Pinang yang ditempatkan di cawangan-cawangan dan ibu pejabat yang terletak di Seberang Jaya, daripada jumlah itu 70 peratus merupakan penguat kuasa. Kekurangan selepas 24 penguat kuasa ditahan telah digantikan oleh anggota dari Perak dan Kedah dan sehingga kini operasi di Pulau Pinang berjalan seperti biasa.

Soalan: Adakah JPJ akan membuka sisatan dalaman?

-Berkait dengan kes ini, tindakan susulan kita adalah berdasarkan kepada undang-undang dan peraturan. Kita tidak sewajarnya melakukan siasatan dalaman kerana siasatan telah dibuka oleh SPRM, apa yang kita buat ialah akan mengambil tindakan susulan menahan kerja berdasarkan pekeliling arahan kerajaan mengikut Peraturan 43, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertip) 1993, untuk pertama kali ini adalah selama dua bulan.

Selepas 24 penguat kuasa ini dibebaskan dengan jaminan SPRM, kita akan tahan kerja selama dua bulan dan selepas itu tunggu proses selanjutnya. Sekiranya dipanggil untuk perbicaraan di mahkamah kita akan melihat proses lain. Oleh itu, siasatan dalaman kita tidak akan dibuat terlebih dahulu dan kita akan tunggu siasatan SPRM selesai sebab kesalahan itu kita tidak tahu dan tidak boleh campur tangan, biar SPRM yang buat. Dalam tempoh penahanan kerja, gaji mereka yang terlibat ini akan dibayar.

Soalan: Adakah JPJ sedar tentang kegiatan tersebut?

-Bidang tugas JPJ adalah kuatkuasakan undang-undang jalan raya, kita tidak tahu mengenai perkara-perkara di luar tugas, namun tindakan bagi membanteras masalah integriti sentiasa diberikan keutamaan. Jadi kita buat langkah pencegahan awal melalui program-program tertentu, kita sedar akan ada perkara-perkara yang tidak diingini seperti ini berlaku, jadi kita buat langkah pencegahan.

Soalan: Adakah akan ada pertukaran besar-besaran terutamanya di Pulau Pinang dan jumlah kutipan hasil di Pulau Pinang?

-Tiada pertukaran besar-besaran dilakukan di Pulau Pinang, kita telah rancang dengan pengantian anggota dari Perak dan Kedah untuk bantu teruskan agenda dan operasi. Kutipan hasil tahunan di Pulau Pinang ialah RM155 juta setahun.

Soalan: Adakah ada pegawai atasan yang terlibat?

-Setakat ini, saya difahamkan mereka yang ditahan ialah:

Gred KP32-1

Gred AB29-4

Gred KP26-2

Gred KP22-9

Gred AB22-3

Gred KP19-5

- UTUSAN ONLINE