Titah baginda, hal demikian melibatkan keperluan tuntutan semasa dan kewajaran memelihara serta memupuk tradisi.

Baginda memberikan contoh dalam isu Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Statut Rom yang dilihat mampu menggugat kedaulatan negara.

“Di sinilah letaknya keperluan fleksibiliti dalam setiap usaha melaksanakan sesuatu dasar dan membuat penentuan tindakan.

“Walaupun terdapat Perlembagaan negara dan Perlembagaan negeri yang secara teknikalnya dipayungi oleh Parlimen, di peringkat negara wujud pula Majlis Raja-Raja yang antara lain mempunyai kuasa memilih dan memecat Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negara, Majlis Raja-Rajalah yang menjalankan fungsi semak dan imbang itu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa merasmikan Kolokium Diraja ‘Daulat Tuanku’ anjuran Perbadanan Muzium Negeri Pahang di Muzium Abu Bakar di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin.

Kolokium dua hari itu antara lain bertujuan memastikan masyarakat mengetahui dan memahami sejarah serta perkembanagan institusi diraja khususnya di negeri ini, mengkaji dan meneliti tentang ilmu ketatanegaraan dan adat istiadat diamalkan oleh raja-raja Melayu dan memberi kesedaran kepada generasi baharu tentang kepentingan mempertahankan institusi beraja.

Para pembentang kolokium itu terdiri daripada profesor dan pakar rujuk dalam bidang masing-masing. - UTUSAN ONLINE