Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, ini berikutan peningkatan hutang langsung Kerajaan Persekutuan sebanyak RM54.2 bilion kepada RM741 bilion daripada RM686.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Peningkatan hutang langsung itu jelas kementerian, adalah untuk membiayai defisit fiskal terutamanya bagi menampung komitmen pajakan bagi projek kerjasama awam swasta (PPP) dan perbelanjaan ‘off-budget’ yang sebelum ini tidak dimasukkan ke dalam penyata kewangan kerajaan secara telus.

“Jumlah jaminan yang ditanggung dan dibayar oleh Kerajaan juga meningkat khususnya bagi membiayai projek pengangkutan awam sedia ada yang sedang diteruskan seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).

“Peningkatan liabiliti ini bukanlah bagi membiayai projek infrastruktur baharu, tetapi adalah untuk menampung pembiayaan projek-projek yang sedang dilaksanakan. Dengan kata lain, peningkatan liabiliti ini adalah bagi menampung keperluan projek-projek yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu menambah, kerajaan yakin penarafan kredit ‘A3’ dan ‘A-‘ bagi Malaysia dapat dikekalkan menerusi langkah-langkah yang akan diambil oleh Jawatankuasa Pengurusan Hutang (JPH).

Kenyataan itu memaklumkan, JPH akan mengenal pasti langkah-langkah untuk mengurangkan hutang dan liabiliti kerajaan ke paras yang lebih terkawal sambil meningkatkan kecekapan pengurusan hutang dan liabiliti.

Menurutnya, ini termasuk pengkajian semula projek berkos tinggi dan pengenalpastian jaminan yang ditanggung dan dibayar kerajaan yang boleh distruktur semula.

Jelasnya, langkah itu diperlukan kerana caj pembayaran balik hutang daripada pelbagai obligasi kewangan mengekang kerajaan daripada menyediakan peruntukan kepada program dan projek lain yang lebih produktif.

“Pada masa kini, terdapat hutang yang dijamin kerajaan yang mempunyai kadar pembiayaan yang sama dengan entiti korporat tempatan bertaraf ‘AAA’. Walau bagaimanapun, kos pembiayaan ke atas hutang yang dijamin kerajaan seharusnya hampir setara dengan kos terbitan kertas hutang Kerajaan seperti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS).

“Setakat 31 Mei 2019, kadar kupon MGS bagi tempoh 10 tahun adalah 3.78 peratus setahun dan ini adalah antara kadar terendah sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

JPH yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah bersidang di Kementerian Kewangan di sini semalam untuk meneliti kedudukan hutang dan liabiliti kerajaan secara menyeluruh dengan mengambil kira obligasi tunai dan komitmen kewangan jangka masa panjang.

Di samping itu, jelas kenyataan tersebut, pihak jawatankuasa akan menyemak semula segala akta, prosedur dan perundangan yang berkaitan dengan hutang langsung kerajaan, jaminan kerajaan dan komitmen lain.

“Langkah konsolidasi fiskal akan diteruskan bagi memastikan kerajaan mempunyai ruang fiskal yang mencukupi bagi menghadapi sebarang krisis pada masa hadapan, tanpa menjejaskan pasaran kewangan domestik, sambil menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE