Katanya, beliau faham ada pihak yang marah dengan keputusan itu tetapi ia perlu diterima dengan hati yang terbuka.

"Pelantikan itu adalah selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan khususnya perkara 16 yang mana dengan nasihat Menteri Besar di bawah pasal itu, maka pemilihan itu sudah muktamad.

"Saya nasihatkan pihak yang hendak mencabar pelantikan itu tidak akan berjaya berasaskan kepada keputusan mahkamah dalam kes pelantikan Musa Wahab sebagai Undang Luak Jelebu ke-15 pada 1981 ketika saya menjadi Menteri Besar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelantikan Datuk Empat Kampung Gagu di Rumah Gadang Budi, Kampung Gagu dekat sini hari ini.

Pada 20 Februari lalu, para Dato' Lembaga Luak Jelebu terkejut dengan penyebaran surat dari Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang menerima pengisytiharan pelantikan Maarof sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.

Berikutan itu, mereka telah membuat bantahan dan akan mengemukakan memorandum kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Rais memberitahu, pelantikan Maarof adalah muktamad selepas penentuan dibuat oleh Perut Kemin dengan sokongan oleh jurai, buapak serta anak buah perut tersebut.

"Terpulang kepada mana-mana pihak untuk mencabar keputusan itu tetapi akan gagal atas sebab nas undang-undang dalam kes Musa," ujarnya. - UTUSAN ONLINE