Di kedai kopi, restoran mamak, di kafeteria, di kaki lima rancak topik tol ini dibahaskan. Ada yang setuju dan menyokong, ada yang mempersoalkan langkah kerajaan. Ada juga tidak mahu ambil tahu (sebab mereka bukan pengguna laluan bertol tersebut).

Kalau diikutkan, langkah kerajaan itu seperti mahu mengurangkan beban rakyat terutama pengguna lebuh raya terlibat. Kalau itulah hasrat kerajaan, cadangan tersebut wajar disokong!

Namun, timbul persoalan mengenai ‘bantuan’ kerajaan itu apabila pembahagian waktu diskaun dan pelepasan membayar tol dilihat banyak pihak sebagai ‘tidak sesuai’.

Ya lah berapa ramai pengguna lebuh raya dari pukul 11 malam hingga 5 pagi yang dikecualikan daripada bayaran?

Mengapa tiada perubahan kadar atau diskaun pada waktu puncak sedangkan ketika itu berpusu-pusu warga kota mengejar masa ke pejabat atau pulang ke rumah?

Alasan diberikan Menteri Pe­ngangkutan, Anthony Loke ialah untuk menyuraikan trafik dengan diskaun hanya diberikan selepas waktu puncak.

Jawapan itu sudah tentunya menimbulkan persoalan.

Adakah itu bermakna u­saha kerajaan mahu memberi diskaun, memansuhkan tol pada waktu tertentu selain me­ngenakan caj kesesakan semata-mata bertujuan me­nyuraikan aliran trafik khususnya pada waktu puncak? Bukannya untuk me­ringankan kos rakyat?