Menurut bekas Pengerusi Media Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaafar, generasi milenial kini tidak lagi membawa psychological referance tentang sejarah atau apa yang berlaku sebelum ini.

Malah katanya, golongan milenial tidak lagi bergantung kepada media konvensional dalam mendapatkan berita serta maklumat, sebaliknya amat terdedah kepada media sosial.

"Kita harus terima hakikat bahawa media sosial memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan generasi muda.

"Oleh kerana itu kita tidak boleh sahaja bergantung kepada media konvensional untuk mendekati generasi muda milenial.

"Dalam hubungan antara Malaysia-Indonesia ini kita memerlukan plantform baharu bukan sahaja dalam bentuk media tradisional tetapi media sosial kerana generasi milenial kini mereka tidak lagi melihat batas geografi dan politik," katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sempena lawatan muhibah delegasi media Indonesia ke Malaysia di sini.

Turut hadir Timbalan Presiden Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Malaysia yang juga Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah; Ketua Iswami Indonesia, Asro Kamal Rokan dan Ketua Pengarang Bernama, Datuk Zakaria Abdul Wahab.

Johan yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan turut menyampaikan ucapan bertajuk 'Memperkasa Generasi Milenial Serumpun' pada majlis tersebut.

Turut diadakan forum dengan ahli panel terdiri daripada Penasihat Media Kumpulan Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali; Asro dan Ketua Dewan Kehormatan Persatuan Wartawan Indonesia, Ilham Bintang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia, Datuk Dr. Chamil Wariya bertindak sebagai moderator.

Terdahulu dalam ucapannya, Johan  yang juga antara pengasas penubuhan Iswami berkata, pemikiran generasi milenial yang terbuka dan latar belakang berbeza merupakan cabaran kepada media untuk mendekati serta memahami aspirasi mereka.

"Kita harus mencari jalan mengatasinya dan Iswami boleh berperanan memberi suara baharu untuk generasi milenial, harus sediakan platform baharu untuk mereka," katanya. - UTUSAN ONLINE