Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, pihaknya akan meminta GiatMara dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyediakan pelbagai program kemahiran kepada gelandangan terpilih selama tempoh enam bulan kursus.

Beliau berkata, saringan akan dilakukan kepada gelandangan di sekitar ibu negara dengan sekurang-kurangnya perlu memenuhi syarat kelayakan asas iaitu pandai membaca dan menulis.

“Kita akan pilih (gelandangan) menerusi beberapa sesi daripada mereka, siapa yang minat dengan kemahiran akan ke GiatMara, begitu juga bagi wanita ada program masakan, kraftangan dan jahitan melalui Kemas.

“Mereka akan menjalani kursus selama enam bulan bagi mendapatkan sijil yang dikeluarkan oleh pihak kementerian dan ini bukannya program dalam sehari dua sahaja, tidak seperti itu.

“Tujuan kita supaya akhirnya mereka betul-betul mendapat kemahiran untuk digunakan dalam kehidupan seperti mengisi peluang pekerjaan atau boleh menjadi usahawan suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena program Cakna Integriti bersama Gelandangan di Pusat Transit Gelandangan, Jalan Pahang di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Kebajikan Negara, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim. - UTUSAN ONLINE