Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata, ini kerana pihaknya telah mengeluarkan notis awal mengenai penutupan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas.

Suhaimi berkata, melalui notis itu, pihaknya berharap pengguna-pengguna di kawasan yang terjejas dapat membuat persediaan dengan menyimpan air untuk kegunaan mereka untuk dua hari.

“Air Selangor juga akan menyediakan 106 lori tangki air di kawasan terjejas pada 26 April sekiranya bekalan air masih belum pulih dalam tempoh yang ditetapkan untuk memberi kemudahan kepada pengguna.

“Bagi kawasan-kawasan kritikal seperti hospital dan pusat dialisis, bekalan air akan dihantar pada hari pertama bekalan air ditutup. Bekalan air juga akan dihantar kepada pengguna untuk kes-kes tertentu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN memaklumkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam dijangka berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor susulan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) pada 24 April.

Menurut Suhaimi, kerja-kerja penambahbaikan itu tidak boleh ditangguhkan memandangkan perkakasan sistem bekalan elektrik tersebut sudah kritikal selain bagi mengelakkan gangguan air tidak berjadual pada masa akan datang.

Selain itu katanya, bagi kes-kes kecemasan dan mereka yang memerlukan bekalan air boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau talian Whatsapp 019-2816793 atau 019-2800919 yang dibuka 24 jam.

“Gangguan bekalan air ini akan melibat 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan. Air Selangor menjangka bahawa hampir 50 peratus daripada kawasan yang terjejas akan menerima bekalan air melalui paip dalam tempoh 24 jam,” katanya.- UTUSAN ONLINE