Peserta dari Brunei, Awang Mohammad Albi Ibrahim, 39, berkata, hal itu kerana pengambilan makanan tersebut akan menyebabkan suara menjadi serak sekali gus menyukarkan mereka untuk melontarkan vokal bacaan dengan nada yang tinggi.

“Walaupun makanan pedas menjadi fenomena ketika ini tetapi ia tidak begitu sesuai diambil oleh mereka yang mahu menjaga suara khususnya untuk menyertai pertandingan tilawah.

“Bagaimanapun terpulang kepada mana-mana individu untuk menetapkan cara pemakanan mereka. Mungkin ada yang menggunakan tips penjagaan suara yang berbeza memandangkan peserta yang ada datang dari pelbagai negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Awang Mohammad Albi berkata, beliau amat terharu dan gembira kerana pertama kali menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-61 yang berlangsung di Malaysia.

Katanya, soal menang atau kalah tidak menjadi keutamaan tetapi manfaat yang lebih besar iaitu merapatkan ukhwah dengan qari dari pelbagai negara seluruh dunia disifatkannya seperti permata yang lebih berharga dari segala-galanya. - UTUSAN ONLINE