Naib Presiden Alumni GPMS Kebangsaan, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, Dong Zong dan Jiao Zong diingatkan agar jangan bertindak kurang ajar dengan menentang usaha Kementerian Pendidikan dalam usaha mengangkat martabat tulisan jawi.

Beliau yang juga Naib Presiden Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menegaskan, dua kesatuan itu tidak harus melatah sebaliknya cuba menerima keputusan kerajaan khususnya kementerian berkenaan secara terbuka dan berlapang dada.

Syed Anuar seterusnya menyarankan supaya Dong Zong dan Jiao Zong turut mengesyorkan kepada kerajaan melaksanakan tulisan kaligrafi Cina dalam buku teks di semua sekolah.

“Dong Zong dan Jiao Zong jangan biadap dan kurang ajar, kenapa perlu melatah dalam perkara ini. Kenapa mereka tidak sarankan juga kepada Kementerian Pendidikan agar tulisan kaligrafi Cina dan juga Tamil dilaksanakan dalam buka teks sekolah sebagaimana tulisan jawi.

“Mereka kena faham betul-betul bahawa tulisan jawi ini adalah satu kesenian dan bukannya suatu ajaran agama. Jadi kenapa Dong Zong serta Jiao Zong perlu takut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syed Anuar berkata, pelaksanaan tulisan jawi dan juga khat tidak sewajarnya dilihat dari sudut politik sebaliknya dalam skop lebih luas sejajar perkembangan budaya selain tidak bertentangan dengan dasar pendidikan negara.

Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan supaya jangan sekali-kali tunduk kepada desakan itu malah perlu bertegas dengan keputusan melaksanakan penggunaan tulisan jawi dalam sukatan pelajaran di semua sekolah.

Semalam, Dong Zong dan Jiao Zong membantah keputusan melaksanakan penggunaan tulisan jawi dan seni khat ke dalam buku teks di semua sekolah dengan alasan langkah itu tidak sesuai kerana tidak mempunyai secara langsung. - UTUSAN ONLINE