Ia dilancarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersekali dengan pelancaran Rumah Lestari D3 Sime Darby Property di Elmina Centrel Park Elmina West, di sini.

Selain harga dan keluasan, DRMM juga mewajibkan pemaju agar membina 120 unit bagi setiap ekar untuk perumahan strata di kawasan bandar, 150 unit bagi setiap ekar untuk kawasan berorientasikan transit (TOD) serta 15 unit bagi satu ekar untuk jenis teres.

Pada masa yang sama DRMM juga menetapkan kemudahan seperti tadika, surau dan bilik pengurusan jenazah, taman permainan, dewan serbaguna, serta bilik pengurusan jenazah bukan Islam adalah wajib disediakan.

Zuraida dalam ucapannya berkata, rumah mampu milik akan menggunakan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) bagi memastikan harganya dapat dijual di bawah RM300,000.

“Dasar ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat yang bukan sahaja sekadar menyediakan rumah tetapi menawarkan aspek keselesaan dan kualiti hidup kepada mereka.

“Satu lagi aspek terpenting dalam DRMM ini adalah soal pembiayaan dan kita sedang dalam proses perbincangan dengan perbankan bagi memastikan proses pinjaman untuk rumah mampu milik ini dipermudahkan,” katanya.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz. - UTUSAN ONLINE