Naib Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pengurusan berdasarkan aduan tidak dinafikan langkah bijak untuk memindahkan tanggungjawab penguatkuasaan undang-undang kepada orang awam dengan meminta mereka membuat laporan rasmi supaya siasatan dapat dijalankan.

Bagaimanapun, katanya, dengan ketiadaan aduan awam tidak ada sebarang isu yang perlu diberi perhatian atau diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

“Jadi tidak hairanlah apabila kita mendengar agensi-agensi penguatkuasaan ketika memberikan maklum balas kepada orang awam yang mempersoalkan kenapa tiada siasatan dijalankan, mereka tanpa segan silu menjawab tiada laporan diterima.

“Disebabkan itu, CAP menggesa sistem pengurusan berdasarkan aduan ini dihentikan dan sistem yang mengenakan tindakan disiplin yang tegas termasuk penamatan perkhidmatan dikembalikan dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, menerusi sistem pengurusan berdasarkan aduan itu, apabila badan penguatkuasa kerajaan memberikan alasan tiada aduan diterima, ia seolah-olah mewujudkan tanggapan kepada orang awam yang mana penguatkuasaan undang-undang begitu cekap sehingga tiada aduan diterima.

“Isu pencemaran alam sekitar yang terbaru dan paling teruk ialah kes Sungai Kim Kim di Johor yang menjejaskan lebih 6,000 penduduk adalah berpunca daripada sistem pengurusan berdasarkan aduan.

“Sebaik sahaja tercetusnya insiden ini, pegawai-pegawai penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang sama sebelum ini tidak nampak sebarang masalah di kawasan tersebun, namun kemudiannya mendapati banyak perkara yang tidak kena,” katanya. - UTUSAN ONLINE