Mohamad Hasan
MOHAMAD HASAN

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, notis pindah keluar telah diserahkan kepada Mohd. Jan kerana masih tinggal di kediaman rasmi itu meskipun Muhammed telah sah diiktiraf sebagai Undang Luak Johol yang baharu.

"Itu rumah kerajaan, bukan rumah dia. Beliau perlu keluar sebab dia bukan Undang lagi.

"Keperluan Undang baharu, Datuk Muhammed Abdullah untuk tinggal di kediaman rasmi itu perlu disegerakan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Muhammed yang sebelum ini adalah Baginda Tan Mas dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol ke-15 menggantikan Mohd. Jan yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac tahun lalu kerana didakwa melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.

Pelantikan Muhammed disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Oktober tahun lalu sebelum menghadiri Istiadat Menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menyempurnakan pelantikannya pada 15 Disember tahun lalu. - UTUSAN ONLINE