Dilahirkan pada 6 Oktober lalu, Muhamad Harras Zaffran bukan sahaja dilahirkan dalam keadaan sihat tetapi juga unik kerana mempunyai 12 jari kaki iaitu masing-masing enam untuk kaki kiri dan kanan.

Ibu bayi berkenaan, Nor Faranisha Zainudin, 24, berkata dia dan suaminya, Muhamad Haziq Abdul Rahman, 31, terkejut apabila dimaklumkan anak kedua mereka itu mempunyai 12 jari kaki.

“Selepas dilahirkan, jururawat yang menyedari perkara itu meminta saya untuk mengira sendiri jari kaki anak dan waktu itu saya terkejut apabila anak saya mempunyai 12 jari kaki.

“Alhamdulillah, semua jari kaki anak saya normal dan boleh digerakkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Bukit Rangin di sini hari ini.

Dari sudut saintifik, manusia yang mempunyai enam jari boleh disebabkan keturunan atau tanpa sebab yang khusus dan penyakit berkenaan dinamakan polidaktili, sindaktili dan polisindaktili.