Aida Solehah Ahmad Fauzi, 18, yang juga dikategorikan orang kurang upaya (OKU) fizikal mendapat 4A dan 4A- dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Lebih menarik, anak bongsu daripada tiga beradik itu masih berbaki tiga subjek ketika menyertai acara renang gaya bebas dalam Para Sukma tahun lalu yang berlangsung di Perak.

“Alhamdulillah... Saya rasa gembira dan sedih kerana usaha selama ini membuahkan hasil, penat lelah sepanjang tahun lalu berjaya diterjemahkan dalam keputusan SPM yang diumumkan hari ini di samping mendapat pingat gangsa dalam Para Sukma lalu.

“Bayangkan, saya bertanding pada 28 November dan selepas itu bergegas pulang ke Alor Setar kerana keesokannya perlu menduduki subjek Sains. Memang saya tak jangka akan dapat 8A kerana keputusan peperiksaan percubaan hanya 6A, 2B,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, anak pasangan Ahmad Fauzi Mohamed, 63, dan Faridah Taib, 58, itu diumumkan sebagai pelajar cemerlang kategori calon istimewa oleh Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Abd. Aziz Selaiman dalam majlis pengumuman di Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu.

Berkongsi resipi kejayaan, Aida Solehah yang bercita-cita menjadi seorang peguam itu berkata, dia mengakui tidak banyak membaca buku, sebaliknya melebihkan ulang kaji mata pelajaran sehingga mendapat jawapan tepat.

“Sepanjang tahun lalu, saya berjaga sehingga pukul 2 pagi untuk mengulang kaji kerana pada sebelah pagi dan petang saya menjalani latihan untuk Para Sukma di samping perlu menghadiri sesi persekolahan seperti biasa.

“Saya juga sering jawab kuiz secara dalam talian kerana mahu memanfaatkan teknologi dan pernah juga mengikuti kelas tambahan yang dianjurkan guru kelas lain semata-mata untuk lebih memahami subjek yang saya rasa kurang cemerlang,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Fauzi yang juga pesara guru di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) berkata, anaknya terlibat dalam renang sejak berusia lima tahun semasa menyertai sesi terapi terhadap penyakit sendi dan otot yang dialaminya sejak lahir.

“Sepanjang sesi terapi, banyak aktiviti renang diperlukan untuk melatih otot dan sendi dia, jadi lama-kelamaan ada seorang individu dalam sukan itu nampak bakat renangnya sehingga menyertai latihan yang lebih efisien untuk mewakili negeri,” ujarnya.

Tambah Ahmad Fauzi, anaknya itu akan menyertai satu lagi kejohanan renang di Pahang pada minggu hadapan di samping pernah menyatakan hasrat untuk mewakili negara bagi menghadiahkan emas kepada skuad para kebangsaan. - UTUSAN ONLINE