Arriz Sham yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan menggantikan Superintenden Fadzil Hashim yang dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Turus Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Majlis serah terima tugas tersebut berlangsung di Dewan Serbaguna IPD Pendang dengan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan.

Sahabudin ketika berucap pada majlis tersebut melahirkan keyakinan terhadap kebolehan Arriz Sham serta komitmennya dalam melaksanakan tugas.

“Pencegahan jenayah merupakan kerjasama semua lapisan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seharusnya sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan masyarakat,” katanya ketika berucap di sini hari ini.

Turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) daerah, Fariza Abdullah kepada pengerusi baharu, Wan Nur Haniza Wan Zain.

Sementara itu, Arriz Sham berkata, kerjasama dalam pasukan dan komitmen terhadap tugas sangat penting dalam mencorak kesepaduan yang cemerlang dalam menjalankan tugasan.

“Apa yang telah ditetapkan perlu diikuti dengan memberi komitmen yang tinggi bagi membanteras jenayah di daerah ini. Tanpa sokongan semua anggota, mustahil tanggungjawab dan amanah kepada agama, bangsa dan negara dapat dilaksanakan dengan penuh berkesan,” katanya. -UTUSAN ONLINE